Senyum leret diukir
Menghias wajah sang teruna
Menanti kedatangan Ramadan al-Mubarak yang mulia
Baju melayu hijau dibelek
Songkok hitam di tangan
Wajah terus ditaut senyuman
Ramadan oh Ramadan
Seorang bujang di kota raya
Mencari rezeki untuk keluarga
Ah, sudah sedekad lamanya hidup sendiri
Tanpa keluarga di bulan puasa
Ada kalanya
Sunyi dan sepi terasa dunia
Hidup ini tidak lengkap
Tanpa yang teristimewa di sisi
Ramadan oh Ramadan
Kau datang lagi
Membawa seribu satu rahmat
Membawa seribu satu keuntungan
Sang teruna terus senyum seorang diri
Tahun ini tahun terakhir
Ramadan al-Mubarak dihadapi sendirian
Hidup baru kan bermula
Lembaran baru kan dibuka
Cabaran baru kan diharungi
Tiba mu Ramadan di tahun hadapan
Akan ku sambut dengan kehidupan baru
Akan ku lalui dengan dia di sisi
Dengan izin Ilahi
© Shaikh Mohd Saifuddeen bin Shaikh Mohd Salleh
30 Syaaban 1419H / 19 Disember 1998M